KOTA KINABALU: Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Land Cruiser Super King terbakar dalam kejadian di Jalan Bypass Tuaran, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 6.56 pagi.
Katanya, seramai 10 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di dapati SUV jenis Land Cruiser Super King terbakar di tepi jalan.
“Anggota bomba kemudiannya melakukan kerja pemadaman menggunakan dua aliran hose reel sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, kenderaan berkenaan musnah terbakar 70 peratus di bahagian enjin bagaimanapun pemandu dan dua penumpang sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada jam 7.28 pagi. – Info X