Search

Surau, rumah musnah terbakar

June 13, 2023

Info X Reporters

LAHAD DATU: Sebuah surau dan rumah pekerja musnah dalam kebakaran berhampiran Pantai Payang, Jalan Manau, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 11.05 pagi.

Surau dan rumah pekerja musnah terbakar berhampiran Pantai Payang, Jalan Manau, Lahad Datu. – Foto/JBPM Sabah

Katanya, seramai 12 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kebakaran membabitkan surau dan rumah pekerja. Operasi pemadaman segera dilakukan menggunakan satu aliran dua pancutan dengan sumber air jentera dan laut.

“Api terkawal pada 11.49 pagi dan kebakaran itu menyebabkan surau dan rumah pekerja musnah sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi ditamatkan pada 1.20 tengah hari.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – Info X