KOTA KINABALU: Suspek bunuh dan kerat seorang wanita yang anggota badannya ditemui di beberapa lokasi di Indah Permai, Sepanggar pada 12 Februari lalu dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Tertuduh, Piluta Samad, 71, berdepan pertuduhan membunuh seorang wanita tanpa dokumen mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Piluta memahami pertuduhan yang dihadapinya, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan ia membabitkan kes bunuh.
Pengakuan tertuduh hanya direkodkan apabila kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Hamidah Husin @ Lisa antara jam 6 petang hingga 7 malam pada 11 Februari lalu.
Pembunuhan itu dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar, dekat sini. – Info X