Search

Suspek kes bunuh rakan sekerja di Kinabatangan berjaya ditahan

December 3, 2024

Info X Reporters

KINABATANGAN: Selepas dua hari menjadi buruan, lelaki warga asing yang membunuh dan mencederakan rakan sekerjanya di rumah pekerja di Ladang Santos NPC, di sini, berjaya ditahan, semalam.

Suspek Ricky Tenny, 40-an, menyerah diri dengan orang awam jam 5.30 petang sebelum polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan membuat tangkapan semula, kira-kira jam 8 malam tadi.

Operasi turut dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan anggota polis dari Balai Polis Tongod.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Asisten Superintendan Mohd Zulfikar Abd Salam berkata, suspek sebelum ini melarikan diri yang melarikan diri bertindak menyerah diri kepada orang awam di kawasan Ladang Lokan Baru, Telupid yang terletak kira-kira 12 kilometer dari tempat kejadian.

Katanya, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Telupid untuk tindakan selanjutnya.

“Polis juga turut membuat rampasan sebilah parang berukuran 37 sentimeter dipercayai adalah senjata yang digunakan bagi mengelar leher mangsa hingga mati dan menikam seorang lagi mangsa hingga parah di bahagian dada.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 kanun yang sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihak polis mengucapkan terima kasih kepada masyarakat setempat yang telah membantu sehingga kes ini berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya suspek.

Katanya, polis juga menasihati orang awam untuk tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes ini di media sosial yang akan menjejaskan siasatan polis.

Terdahulu, pada Sabtu lalu, suspek mengelar leher Christian Andi, 30-an, hingga mati manakala Bernadus Bagalewok, 24, yang cuba meleraikan pergaduhan turut parah ditikam di bahagian dada oleh suspek.

Bernadus menjerit meminta tolong, manakala suspek terus melarikan diri dengan membawa pisau berkenaan.

Difahamkan, sebelum kejadian kira-kira 6.30 petang Jumaat lalu, ketiga-tiga mereka menghadiri majlis sambutan hari lahir anak rakan sekerja di ladang berkenaan. – Info X