Search

Suspek kes samun kedai runcit guna senjata diberkas

May 24, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Penjenayah yang disyaki terbabit dalam kes samun bersenjata di sebuah kedai runcit di Simpang Payang, Batu 7, Jalan Silam, di sini, pada Januari lalu ditahan polis semalam.

Suspek warga tempatan berusia 30 tahun ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dan Sandakan di perkarangan Balai Polis Sandakan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Jimmy Panyau berkata, permohonan reman dibuat hari ini untuk siasatan lanjut.

“Pada kejadian 4.35 petang, 18 Januari 2025, dua lelaki bersenjatakan pisau telah menyamun sebuah kedai runcit di kawasan berkenaan dan melarikan wang tunai RM1,200 dan dua kad tambah nilai prabayar.

“Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tindakan suspek yang mengacukan pisau ke leher mangsa sebelum melarikan diri menaiki motosikal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan juga mendapati suspek mengaku terbabit dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan curi. – Info X