Search

Suspek samun cuba tenggelamkan polis, tembakan amaran dilepaskan

October 13, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang anggota polis hampir ditenggelamkan oleh suspek samun bersenjata yang bertindak agresif ketika cuba melarikan diri daripada ditahan dalam operasi di Kampung Titingan, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, suspek lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an turut cuba menyerang anggota polis menggunakan sebatang besi sebelum terjun ke laut bagi mengelak ditangkap.

Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas selepas polis terpaksa melepaskan tembakan amaran, manakala dua anggota mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama Strike Team Balai Polis Tawau dan Pondok Polis Kawasan Titingan menjalankan operasi tangkapan.

Katanya, operasi itu dijalankan bagi mengesan tiga suspek kes samun bersenjata dan cubaan merogol seorang wanita warga asing berusia 18 tahun yang berlaku kira-kira jam 3.50 pagi hari sama.

“Dalam kejadian samun itu, tiga lelaki bersenjatakan parang dipercayai melarikan dua telefon bimbit dan wang tunai RM434 milik mangsa dengan kerugian keseluruhan dianggarkan RM3,500.

“Ketika operasi tangkapan, seorang suspek bertindak agresif dengan cuba menyerang anggota polis menggunakan sebatang besi sebelum terjun ke laut.

“Suspek turut memukul dan cuba menenggelamkan seorang anggota polis ketika dikejar sehingga tembakan amaran terpaksa dilepaskan sebelum dia berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Rosdi berkata, pemeriksaan mendapati suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, manakala sebatang besi turut dirampas.

Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Mengulas video kejadian yang tular di media sosial, beliau menegaskan rakaman itu memaparkan tindakan polis melepaskan tembakan amaran ketika operasi tangkapan pada 9 Oktober lalu.

“Video berkenaan bukan kejadian berbalas tembakan atau kejadian baharu seperti yang mungkin disangka orang ramai,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395, 397 dan 354 Kanun Keseksaan, manakala dua lagi suspek masih diburu.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Norhafizah Hussin di talian 012-527 9004 serta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video tular itu. – Info X