Search

Suspek tidak puas hati mangsa putuskan pertunangan

February 13, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suspek kes bunuh dan kerat dipercayai tidak berpuas hati dengan mangsa kerana memutuskan pertunangan mereka dan berkahwin dengan individu lain.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, mangsa seorang wanita berusia 44 tahun yang merupakan warga asing yang memegang dokumen IMM13.

Katanya, mangsa dipercayai berada di lokasi kejadian untuk berjumpa dengan suspek di rumah keluarga lelaki yang berusia 70 tahun itu.

“Jadi kita percaya, motif kepada kes bunuh ini adalah lebih kepada motif cemburu dan tidak berpuas hati dengan mangsa.

“Mangsa telah berkawin dengan orang lain menyebabkan suspek cemburu sehinggalah kepada pertengkaran yang membawa kepada pembunuhan ini,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh pertunangan, mangsa juga didakwa menggunakan wang suspek yang dianggarkan sebanyak kira-kira RM7,000.

Sementara itu, Jauteh berkata, siasatan mendapati suspek mengaku mengerat mangsa menggunakan senjata parang tajam seorang diri.

Manakala katanya, suspek kedua yang juga anak suspek pula ditahan untuk membantu siasatan kerana berada di luar rumah tempat kejadian ketika pergaduhan berlaku.

Terdahulu, Info X melaporkan mayat wanita lingkungan 40-an ditemukan dalam keadaan anggota badan dikerat dan dibuang berasingan di beberapa lokasi pembuangan sampah sekitar Taman Indah Permai.

Penemuan awal membabitkan tangan dan kaki pada jam 6.30 pagi sebelum pencarian lanjut membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada jam 11.40 pagi di lokasi berhampiran. – Info X