Search

Syabu 101 gram dirampas, lelaki ditahan

March 9, 2026

Info X Reporters

KUDAT: Tindakan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di simpang Kampung Tungkang, Sikuati, di sini, membawa kepada penahanan seorang daripada mereka bersama dua paket syabu seberat 101.21 gram, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.10 malam itu, suspek berusia 40 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat ketika menjalankan rondaan Op Tapis di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata polis pada awalnya terserempak dengan dua lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan di lokasi terbabit.

Menurutnya, sebaik anggota memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, kedua-dua lelaki berkenaan cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun seorang suspek berjaya ditahan manakala seorang lagi lelaki berjaya meloloskan diri.

Mohd Haris Ibrahim memeriksa dadah jenis syabu yang dirampas dalam operasi di simpang Kampung Tungkang, Kudat.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan dua paket plastik lutsinar berisi hablur kristal disyaki syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, nilai rampasan dadah berkenaan dianggarkan RM11,000.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Katanya, suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan masih diteruskan termasuk mengesan seorang lagi lelaki yang melarikan diri serta pembekal dadah berkenaan.

“Polis juga akan terus mempergiat operasi dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah kepada pihak polis,” katanya. – Info X