TAWAU: Rasa curiga sepasukan polis terhadap seorang lelaki yang membawa karung berisi tepung akhirnya membawa kepada rampasan dadah jenis syabu seberat 7.4 kilogram bernilai RM444,400.
Rampasan itu hasil pemerhatian dan pemantauan sepasukan polis dari Balai Polis Tawau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di kawasan Jeti Awam, Pelabuhan Tawau, di sini, jam 10.10 pagi, 8 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika sepasukan polis menjalankan penugasan harian di kawasan jeti berkenaan, terkesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan yang membawa karung warna putih.
Katanya, pegawai dan anggota polis kemudian menahan lelaki terbabit untuk tujuan pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan anggota polis di dalam karung itu menemui satu lagi karung berisi tong cat warna putih yang mengandungi tujuh bungkusan plastik warna hijau bertulis ‘Guanyinwang’ bersama dua bungkusan plastik berisi tepung gandum.
“Pemeriksaan lanjut di dalam ketujuh-tujuh bungkusan plastik warna hijau itu didapati mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 7.4 kilogram dianggarkan bernilai RM444,400,” katanya dalam sidang media di IPD Tawau, di sini, hari ini.

Jasmin berkata, suspek yang ditahan berusia 22 tahun dan bukan warganegara tempatan.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek juga tiada sebarang rekod jenayah dan ujian saringan air kencing juga mendapati suspek negatif sebarang jenis dadah.
“Suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Polis sedang giat menjalankan usaha mengesan rangkaian pengedaran dadah ini bagi siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, dadah syabu yang dirampas ini dari luar dan dibawa masuk ke daerah ini sebelum dibawa keluar dari Tawau.
“Sehingga hari ini, IPD Tawau telah membuat rampasan sebanyak 23,734.12 gram dadah syabu sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini.
“Polis Tawau akan meneruskan usaha secara agresif menangani kes-kes berkaitan pengedaran dadah ini dalam usaha menjadikan daerah ini sejahtera,” katanya. – Info X