PENAMPANG: Seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan selepas polis menemukan syabu seberat 52.55 gram bernilai kira-kira RM6,000 dalam satu operasi di Jalan Penampang Lama, di sini, semalam.
Suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang kira-kira jam 11 malam selepas polis bertindak atas maklumat.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pemeriksaan terhadap lelaki berkenaan menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki syabu dalam simpanannya.
Katanya, ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sammy berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya tidak terbabit dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau dadah kepada polis untuk tindakan lanjut. – Info X