TAWAU: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap sebuah syarikat pengeluar kicap, sos dan perasa serta pembungkusan selepas gagal mematuhi arahan memanggil balik produk (Notice of Recall) Ogos tahun lalu.
Kes itu adalah pendakwaan kali kedua dihadapi syarikat berkenaan yang sebelum ini didenda berjumlah RM5,500 atas dua pertuduhan sama, di mahkamah ini pada 29 Disember tahun lalu.
Majistret Don Stiwin Malanjum memutuskan hukuman itu selepas Syarikat Haribah Industries Sdn Bhd yang diwakili salah seorang lembaga pengarahnya mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut kertas pertuduhan, syarikat berkenaan gagal mematuhi arahan memanggil balik produk (Notice of Recall) di bawah Akta Makanan 1983, seperti termaktub dalam Seksyen 13C (1) Akta Makanan 1983.
Syarikat berkenaan melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan Apas dalam daerah Tawau antara jam 3.11 petang pada 14 Ogos lalu.
Berdasarkan fakta kes, syarikat itu didapati gagal mematuhi surat arahan memanggil, memindahkan atau menarik balik (Notice of Recall) apabila masih terdapat penjualan produk makanan keluarannya di pasaran walaupun sudah tamat tempoh diberikan.
Syarikat pembekal itu didakwa di bawah Seksyen 13(1) Akta Makanan 1983 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 13C (3) akta yang sama.
Kesalahan itu, memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau, Yusri Umasa, manakala tertuduh diwakili peguambela Jhesseny P. Kang.
Terdahulu, Jhesseny memohon mahkamah menjatuhkan denda minimum terhadap anak guamnya yang berjanji akan mematuhi peraturan ditetapkan pada masa akan datang.
Selain itu, katanya, anak guamnya turut mengaku bersalah yang telah menjimatkan kos dan masa mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan.
Mahkamah kemudian turut memerintahkan semua produk yang dirampas dilupuskan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau. – Info X