Search

TABUNG PENDIDIKAN NEGERI SABAH BANTU GOLONGAN PELAJAR B40 LANJUT PELAJARAN

June 2, 2022

admin

KOTA KINABALU: Penubuhan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dilihat
salah satu inisiatif terbaik dalam membangunkan agenda pendidikan di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, inisiatif yang bertemakan “Peluang Tajaan Untuk Semua” itu, membuka sinar baharu kepada rakyat negeri ini dalam mengejar pendidikan di menara gading.

“TPNS merupakan salah satu inisiatif dalam Pelan Strategik Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah (YS) 2015-2023 yang diwujudkan bagi mengumpul dana untuk membuka lebih banyak peluang tajaan kepada anak-anak negeri Sabah yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi.

“Kerajaan negeri menyambut baik inisiatif Kumpulan YS dalam menokok tambah usaha kerajaan membangunkan agenda pendidikan di negeri ini.

“Pelancaran TPNS ini tepat pada masanya, sekaligus membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan negeri melalui Kumpulan YS terhadap masa depan generasi muda.

“Komitmen tersebut amat diperlukan lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan fasa pertama Pelan Pembangunan SMJ 1.0, (2021 -2025) pada Mac 2021 lalu yang antaranya menjadikan modal insan dan kesejahteraan rakyat sebagai antara teras utama”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Pelancaran TPNS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalul, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, kerajaan negeri amat memberi penekanan dalam pembangunan modal insan di negeri ini.

Menurutnya, keutamaan penajaan adalah bagi pelajar yang mengambil kursus dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi tuntutan pasaran pada masa akan datang.

Sementara itu, Hajiji berkata setakat ini jumlah dana TPNS yang terkumpul adalah
sebanyak RM54.5 juta melalui sumbangan daripada kerajaan negeri, Benta
Wawasan Sdn Bhd, Sabah Softwoods Berhad, Innoprise Plantations Berhad, Yayasan Lau Gek Poh, Ikatan Kayangan Sdn Bhd dan Usahawan Borneo Group.

“Saya menggesa semua pihak termasuk syarikat-syarikat besar yang beroperasi dan meraih keuntungan di negeri ini, agar dapat tampil memberi sumbangan bagi membolehkan TPNS mengumpul dana yang diperlukan,” katanya. – Info X