TAWAU: Dua lelaki ditahan polis selepas membelasah kenalan sendiri dalam kejadian di sebuah kampung di sini, baru-baru ini.
Difahamkan, kejadian berpunca akibat ketidaksefahaman antara mereka sehingga berlaku kejadian diluar kawalan dengan niat hendak mencederakan seseorang.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa yang sedang memandu kenderaan dengan ditemani isterinya.
Katanya, kenderaan mangsa dikejar sekumpulan lelaki ketika dia dalam perjalanan balik ke rumah.
“Semasa kejadian, kenderaan mangsa turut dipukul ketika berselisih dengan suspek.
“Salah seorang daripada suspek juga dengan sengaja melemparkan batu ke arah kenderaan mangsa sehingga menyebabkan kerosakan di bahagian cermin tingkap sebelah kiri,” katanya.

Jasmin berkata, sebaik sampai di rumah mangsa, kedua-dua suspek turut mengancam mangsa menggunakan kayu berpaku .
Katanya, suspek kemudian bertindak mencekik dan menumbuk muka mangsa sehingga menyebabkan kecederaan serius.
“Bertindak dengan laporan diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dibantu Balai Polis Bombalai membuat serbuan di sebuah rumah di kawasan Bombalai.
“Dua lelaki masing-masing berumur 26 dan 31 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes ini ditahan dan dibawa balik ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X