Search

Tak wajar bawa JKDM ke Sabah tanpa persetujuan kerajaan negeri – Joniston

May 19, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Penubuhan Jawatankuasa Komuniti Madani (JKDM) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di negeri ini tanpa persetujuan kerajaan negeri disifatkan sebagai tindakan yang tidak wajar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, berkata tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai relevan JKDM di Sabah.

Katanya, ia juga dilihat mempunyai motif politik, terutama apabila UMNO bukan lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri diketuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Jika ia benar-benar disasar untuk manfaat rakyat negeri ini, ia sepatutnya dilaksanakan menerusi pembabitan kerajaan negeri Sabah,” katanya ketika berucap pada pelancaran sambutan Kaamatan Mukim Lembah Kiulu, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kritikan pemimpin UMNO kepadanya berikutan kenyataannya sebelum ini berhubung rasional penubuhan JKDM di Sabah bagi meminta penjelasan lanjut.

Katanya, pertindihan JKDM dengan peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sedia ada boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan rakyat.

“Kenapa kita perlu ada dua badan untuk mengurus peruntukan kampung? Bukankah lebih baik beri autonomi kepada kerajaan Sabah supaya kita boleh salurkan dana itu mengikut keperluan di kawasan kita masing-masing.

“Biarkan kerajaan persekutuan salurkan dana kepada kerajaan negeri dan agihkannya kepada setiap JKKK untuk melaksanakan kerja pembangunan di kawasan mereka masing-masing. Itu yang dimaksudkan dengan autonomi,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata ramai rakyat Sabah berpandangan tindakan mewujudkan JKDM bertentangan dengan usaha Sabah mendapatkan autonomi yang mana UMNO Sabah turut mendakwa memperjuangkannya.

“Saya hanya mahu tahu rasional penubuhan JKDM tetapi mereka bertindak seperti cacing kepanasan. Saya juga tertanya-tanya kenapa jawatankuasa ini tidak diwujudkan di Sarawak? Adakah kerana tiada UMNO di sana,” soalnya. – Info X