Search

Taktik bawa keluar kayu balak guna kontena gagal

March 18, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah mematahkan cubaan membawa keluar kayu balak bernilai lebih RM80,000 menggunakan kontena di Pelabuhan Tawau, di sini, pada 23 Februari lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, pihaknya mengesan imej meragukan pada mesin pengimbas kargo terhadap tiga buah kontena di pelabuhan berkenaan, kira-kira jam 5.45 petang.

Katanya, sepasukan pegawai Kastam Bahagian Perkastaman Tawau dan Jabatan Perhutanan Tawau bertindak menjalankan pemeriksaan terhadap semua kontena berkenaan.

“Hasil pemeriksaan secara fizikal mendapati dua daripada kontena berkenaan mengandungi 101 batang kayu balak tanaman jati dan sebuah lagi mengandungi 1,514 batang kayu terubah.

“Semua kayu balak berkenaan tidak seperti diikrarkan kepada pihak Kastam melalui Borang Kastam 2 dan lesen eksport yang dilampirkan syarikat berkenaan,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Nasir (kanan) menunjukkan kayu balak yang berjaya dirampas.

Menurutnya, modus operandi untuk kes ini adalah mengikrar menggunakan permit tidak betul untuk tujuan eksport yang tertakluk pada permit eksport.

“Semua kayu balak yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM80,322.23 dengan duti eksport bernilai RM7,129.36.

“Ketiga-tiga kontena dan kayu balak itu ditahan dan diserahkan kepada cawangan penguatkuasaan Kastam Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya. – Info X