KENINGAU: Tanah milik individu lain yang tidak pernah ditawarkan untuk dijual dipercayai menjadi bahan urus niaga sindiket jual beli tanah membabitkan rasuah kira-kira RM900,000.
Kegiatan itu terbongkar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan empat lelaki termasuk seorang bekas pegawai adat dan penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Dua lagi yang ditahan adalah broker tanah dengan semua suspek berusia lingkungan 30-an hingga 60-an.
Kesemua mereka ditahan antara jam 4 petang hingga 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Keningau.
Hari ini, Majistret Flavian Edward Henry membenarkan semua suspek direman selama tujuh hari sehingga 27 Ogos ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Keningau.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan berkenaan pada 2025.
Katanya, bekas pegawai adat dan penjawat awam terbabit dipercayai menerima rasuah daripada dua broker berkenaan sebagai balasan membantu melancarkan urusan jual beli tanah yang dikendalikan mereka.
“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati tanah yang terbabit dalam urusan berkenaan sebenarnya milik individu lain dan tidak pernah ditawarkan untuk dijual,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan semua suspek.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 dan 18 Akta SPRM 2009. – Info X