RANAU: Hujan lebat berterusan sejak petang tadi mengakibatkan kejadian tanah runtuh sehingga menjejaskan struktur binaan di kawasan lereng bukit di Kampung Gorowot, Kundasang, di sini, hari ini.
Kejadian itu menyebabkan sebahagian tanah di kawasan berkenaan menggelongsor, dengan struktur berbumbung dan pagar terjejas akibat runtuhan tanah berhampiran sebuah bangunan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, pihaknya menerima aduan orang awam menerusi talian kecemasan MERS 999 sebelum mengarahkan anggota ke lokasi pada jam 4.15 petang.
Katanya, anggota Balai Polis Kundasang bersama Unit Kereta Peronda (MPV) tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian bagi menjalankan pemeriksaan.
“Pemeriksaan mendapati kejadian tanah runtuh berpunca daripada limpahan air hujan dari kawasan bukit susulan hujan lebat berterusan sejak petang.
“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mursalin berkata, hujan berterusan turut mengakibatkan banjir kilat di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk khususnya yang tinggal berhampiran cerun dan kawasan berbukit supaya meningkatkan kewaspadaan terhadap risiko tanah runtuh.
“Orang ramai diminta sentiasa peka dengan keadaan persekitaran dan segera melaporkan sebarang kejadian kepada pihak berkuasa bagi membolehkan bantuan awal disalurkan.
“Polis Daerah Ranau sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terpelihara,” katanya. – Info X