Search

Tanam 21,000 pokok sempena Hari Bumi di Tuaran

April 25, 2024

Info X Reporters

TUARAN: Lebih 21,000 anak pokok berjaya ditanam di seluruh daerah ini sempena sambutan Hari Bumi Sedunia anjuran Pusat Khidmat Rakyat Tuaran hari ini.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau, berkata pokok ditanam secara serentak melalui penyertaan lebih 22,000 murid dan pelajar di enam zon sekitar daerah ini.

Ia meliputi sekolah di Zon Nabalu, Kiulu, Tenghilan, Tamparuli, Sulaman dan Zon Mengkabong termasuk penuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent.

“Pada asalnya, lebih 25,000 anak pokok disasarkan untuk ditanam. Namun, akibat kemarau sebanyak 4,349 anak pokok yang disediakan sejak tahun lalu telah layu dan mati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Hari Bumi Sedunia Peringkat Daerah Tuaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli, di sini.

Program itu dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran dan sokongan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Hutan, Jabatan Pertanian, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Taman-Taman Sabah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Sektor Pembangunan Murid) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Muddin Beting; Pengetua SMK Tamparuli, Dr Justin Rompod; Pengurus Besar Perkhimatan Korporat SESB, Khadijah Sutrisnoh dan Wakil Pegawai Daerah Tuaran, Sazrina Norsinin.

Pelajar menanam anak pokok sempena sambutam Hari Bumi.

Madius berkata sambutan sepatutnya dijadualkan pada tarikh sebenar Hari Bumi Sedunia iaitu 22 April tetapi terpaksa ditunda berikutan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) masih berlangsung.

Mengulas mengenai penanaman pokok, katanya ia sebagai kesedaran untuk memelihara alam sekitar dan mencegah hakisan serta tanah runtuh di kawasan yang berisiko tinggi terutama di tebing sungai.

“Dalam masa dua dekad ini, kita menyaksikan peningkatan mangsa banjir, kemarau selain pelbagai masalah alam sekitar akibat aktiviti pembangunan dan perindustrian.

“Kesedaran ini saya ilhamkan sendiri setelah dipilih semula sebagai Ahli Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam usaha menangani masalah ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada SESB dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang menyumbang dana di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu masing-masing sebanyak RM130,000 dan RM10,000.

“Sumbangan ini bagi membiayai pembelian bibit pokok yang disediakan oleh orang kampung untuk penanaman pada hari ini,” katanya.