KOTA KINABALU: Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor mahu jentera parti itu bertindak proaktif menangkis fitnah dan pembohongan yang dilemparkan terhadap kerajaan di media sosial.
Ketua Menteri Sabah itu berkata, perkara berkenaan perlu ditangani dengan berkesan bagi memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah yang sengaja dibuat untuk memfitnah kerajaan pimpinannya.
“Mereka (jentera parti) perlu menangkis fitnah dan pembohongan yang tersebar di media sosial. Ia perlu ditangani, kalau tidak nanti rakyat percaya sedangkan ia tidak betul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan Program Penerangan Isu-Isu Semasa Biro Penerangan Gagasan Rakyat, di sini, petang ini.

Yang turut hadir ialah Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Datuk Rubin Balang; Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohd Razali Razi dan Ketua Penerangannya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Hajiji berkata, tugas menangkis fitnah dan pembohongan adalah antara tanggungjawab jentera parti khususnya biro penerangannya, di samping melaksanakan tugas lain seperti memberi penjelasan mengenai pencapaian kerajaan kepada rakyat.
“Ini soal penerangan, jadi kita minta mereka untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai inisiatif yang dicapai oleh kerajaan pada hari ini kerana banyak inisiatif dan kejayaan kita belum dapat disampaikan ke bawah, malah ada yang tidak mengetahuipun.
“Jadi inilah tanggungjawab mereka, iaitu mesti menjelaskan pencapaian kerajaan, apa yang sudah dibuat, apa yang sudah dibantu kepada rakyat, kepada orang miskin dan sebagainya.
“Begitu juga mengenai nilai pelaburan yang masuk sejak kita memerintah, peluang pekerjaan yang beribu-ribu sudah rakyat kita dapat, semua ini penting untuk dijelaskan,” katanya.
Sementara itu, katanya sudah tiba masanya Gagasan Rakyat mengemas jentera parti, khususnya biro penerangan berikutan tempoh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus ketika ini hanya berbaki kira-kira setahun lagi.
“Tumpuan kita sekarang adalah untuk mengemas jentera parti kerana tempoh kita (kerajaan) tidak lama lagi. Tempoh kerajaan yang ada pada hari ini adalah hingga Oktober tahun depan,” katanya.
Mengenau program yang dihadiri ketua penerangan dari semua bahagian parti itu, beliau berkata ia bertujuan memastikan semua jentera parti dalam keadaan yang teratur bagi menghadapi pilihan raya.
Katanya, program berkenaan antara lain memberi penerangan kepada ketua penerangan Gagasan Rakyat mengenai tugas dan tanggungjawab mereka dalam memperkemas dan melaksanakan jentera parti. – Info X