TAWAU: Seorang juruwang wanita berdepan detik mencemaskan apabila didakwa dicabul lelaki tidak dikenali ketika sedang bekerja di sebuah pasar raya di bandar ini, semalam.
Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, mangsa berusia 20 tahun pada awalnya didatangi suspek yang berpura-pura bertanyakan lokasi barangan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa kemudian mengikut suspek ke bahagian rak sabun bagi membantu.
“Bagaimanapun, ketika mangsa cuba beredar, suspek secara tiba-tiba menarik dan memeluknya sambil mendakwa mangsa adalah anak saudaranya.
“Suspek turut bertindak tidak senonoh dengan menyentuh beberapa bahagian tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Menurutnya, mangsa yang terkejut dengan kejadian itu segera membuat laporan polis.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau menjalankan serbuan kira-kira jam 5.30 petang di sebuah rumah pekerja di Jalan Tanjung Batu Laut.
“Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.
“Turut dirampas beberapa pakaian dipercayai digunakan semasa kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan segera melaporkan sebarang kejadian jenayah kepada pihak polis. – Info X