KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri (KePKAS) menubuhkan Task Force Bersepadu bagi menangani secara menyeluruh isu pelancongan di Semporna yang memberi kesan langsung kepada imej, keselamatan dan kelestarian industri pelancongan negeri.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin, berkata Task Force itu akan dikawal selia oleh Pembantu Menteri KePKAS, Dr Andi Rizal.
Katanya, laporan kemajuan akan dikemukakan oleh Task Force berkenaan kepada beliau setiap dua minggu sekali bagi memastikan tindakan yang diambil bersifat berfokus, berperingkat dan berakauntabiliti.
“Objektif utama Task Force ini adalah untuk menyelesaikan isu pelancongan Semporna secara tuntas, bukan sekadar reaktif, tetapi melalui pendekatan sistemik yang menyelaraskan peranan, bidang kuasa dan penguatkuasaan antara agensi berkaitan.
“Penubuhan Task Force ini adalah sangat penting memandangkan antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah ketidakselarasan punca kuasa antara MOTAC, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah.
“Cabaran lain teemasuk isu struktur tidak berlesen atau haram, keselamatan, kebersihan serta pengurusan infrastruktur pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Isnin.
Jafry berkata pendekatan yang diambil adalah berteraskan prinsip ‘sit down together, we can work together’, dengan penglibatan pelbagai agensi utama termasuk MOTAC, agensi penguatkuasaan, Jabatan Laut Malaysia (Wilayah Sabah), Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, ESSCOM, Tourism Malaysia Sabah, Pejabat Daerah Semporna, Taman-Taman Sabah dan agensi berkaitan yang lain.
“Hasrat kita jelas, kita mahu menyelesaikan masalah. Task Force ini diwujudkan bagi membina sistem tadbir urus pelancongan yang lebih tersusun, selamat dan berintegriti, di samping memastikan sekurang-kurangnya pihak MOTAC mempunyai asas yang kukuh dalam mempertahan peranan kawal selia industri pelancongan.
“Saya ingin menegaskan bahawa kegagalan menangani isu ini akan memberi kesan besar kepada sektor pelancongan Sabah secara keseluruhan.
“Oleh itu, semua pihak diminta memberi komitmen penuh agar isu-isu ini dapat diselesaikan demi kepentingan industri dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, sebagai langkah segera, tindakan ad hoc Task Force bermula hari ini, termasuk sesi libat urus bersama pemain industri pelancongan di Semporna.
“Saya sendiri akan turun padang bagi memastikan isu-isu ini dapat disusun atur dan ditangani secara praktikal.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab, perkara yang tertangguh sebelum ini akan diteruskan dengan pendekatan lebih bersepadu, tegas dan berorientasikan penyelesaian, demi memastikan industri pelancongan Semporna kembali stabil dan mampan,” katanya. – Info X