KOTA KINABALU: Pemilik kenderaan yang mempunyai kompaun letak kereta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang tertunggak ditawarkan diskaun antara 50 peratus hingga 80 peratus jika menyelesaikan kompaun sebelum atau pada 31 Mac ini.
Bagaimanapun, tawaran itu yang bermula sejak bulan lalu menerusi kempen ‘Jom Setel Kompaun’ hanya untuk pembayaran secara dalam talian (online).
Ini bermakna, pemilik kenderaan yang mempunyai tunggakan kompaun mempunyai tempoh hingga Ahad ini untuk mendapatkan diskaun apabila menyelesaikan bayaran masing-masing .
Berikutan itu, DBKK menerusi satu kenyataan, di sini, mengingatkan orang ramai untuk segera melaksanakan tanggungjawab menyelesaikan kompaun yang tertunggak.
Katanya, ia bagi kesalahan Undang- Undang Kecil (Peruntukan-peruntukan Tempat Letak Kereta Awam) (Letak Kereta Awam Berkupon) Bandaraya Kota Kinabalu 2014 dan Undang-undang Kecil (Jalan-Jalan dan Tempat Awam) Bandaraya Kota Kinabalu 1966, Pindaan 2008.
“Selaras dengan kempen ‘Jom Setel Kompaun’ yang bermula pada 2 Februari 2024 yang lalu, pengurangan bayaran kompaun sebanyak 50 peratus sehingga 80 peratus akan diberikan kepada orang awam yang membuat pembayaran secara dalam talian (online).
“Orang awam dinasihatkan untuk memanfaatkan tawaran diskaun ini yang akan tamat pada 31 Mac 2024. Tiada lanjutan tempoh tawaran, pengampunan mahupun rayuan akan diterima selepas 31 Mac 2024.
“Tindakan perundangan akan diambil ke atas kesalahan bayaran kompaun tertunggak seperti yang dikuatkuasakan di bawah Undang-Undang Kecil (Peruntukan-Peruntukan Tempat Letak Kereta Awam) (Letak Kereta Awam Berkupon) Bandaraya Kota Kinabalu 2014 dan Undang-undang Kecil (Jalan-jalan dan Tempat Awam) Bandaraya Kota Kinabalu 1966, Pindaan 2008, termasuk tindakan sita kenderaan,” kata kenyataan itu.
Bagi membuat pembayaran secara dalam talian, katanya, orang ramai boleh melayari laman sesawang eservices.dbkk.sabah.gov.my. – Info X