Search

Telipok Ria terus digempur, enam ditahan

March 5, 2026

Info X Reporters

TUARAN: Aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan perumahan Telipok Ria terus digempur apabila enam lelaki ditahan dalam operasi Ops Gempur Telipok Ria yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, malam tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 9 hingga 11.30 malam, pasukan JSJN menjalankan pemeriksaan di sekitar perhentian bas dan van sewa Telipok Ria Fasa 3, yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan aktiviti penagihan dan pengedaran dadah.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, seramai enam lelaki diperiksa dalam operasi itu sebelum lima daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine hasil ujian saringan awal air kencing.

Menurutnya, empat daripada suspek turut didapati memiliki dadah ketika pemeriksaan dijalankan oleh pasukan polis.

“Hasil operasi, polis turut merampas 1.13 gram syabu yang ditemui dalam empat tiub plastik lutsinar dengan anggaran nilai rampasan kira-kira RM150.

“Semua suspek yang ditahan berusia antara 35 hingga 44 tahun dan bekerja sebagai nelayan, pengimpal serta buruh, manakala sebahagian lagi tidak mempunyai pekerjaan tetap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, semua mereka dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tuaran untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.

“Hasil soal siasat mendapati semua suspek yang positif air kencing mengaku mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki yang tidak dikenali di kawasan perhentian bas dan van sewa Telipok Ria.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak polis akan terus menjalankan risikan dan pemantauan di kawasan terbabit bagi mengesan individu yang dipercayai menjadi pembekal dadah.

“Kita akan memastikan kawasan penempatan seperti ini tidak dijadikan ‘hideout’ atau tempat berlindung bagi aktiviti pengedaran dadah.

“JSJN Sabah akan terus menggempur lokasi-lokasi yang dikenal pasti bagi mengekang kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah di negeri ini,” katanya. – Info X