Search

Tenaga solar dilengkapi EV untuk Sabah, Sarawak – Zahid

July 30, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu sistem baharu pembekalan elektrik luar bandar menggunakan tenaga solar yang dilengkapi bateri untuk kenderaan elektrik (EV) akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.

Katanya, sistem itu menggunakan teknologi baharu bagi menggantikan sistem tenaga solar yang pernah digunakan sebelum ini di kawasan luar bandar kedua-dua negeri.

Beliau berkata, bateri adalah masalah utama sistem tenaga solar sebelum ini, termasuk pergantungan kepada hanya satu pembekal untuk penukaran bateri menyebabkan ia tidak praktikal.

“Apa yang telah dilakukan selama ini di Sabah sendiri dan Sarawak, pemasangan panel solar ini sudah dilakukan lebih satu dekad yang lalu ertinya lebih 10 tahun lalu.

“Tetapi oleh kerana sistem penukaran bateri itu diberikan satu pihak sedangkan kawasan Sabah dan Sarawak ini terlalu luas maka ianya tidak praktikal dan mengambil masa dan akhirnya kawasan yang mengunakan tenaga solar mengalami kegelapan lebih lama.

“Oleh demikian, satu sistem baharu perlu diwujudkan untuk kaedah mengantikan bateri ini dengan bateri yang baharu sebagai mana bateri EV,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan penutupan Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata teknologi baharu tenaga solar untuk luar bandar Sabah dan Sarawak itu bakal membawa perubahan dalam pembekalan elektrik menerusi program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).

“Kaedah yang saya nyatakan itu (sistem lama) akan ditukar dan penukaran ini mesti diambil kira teknologi baharu bagi pemasangan sistem panel solar di kawasan luar bandar,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata bateri EV yang akan digunakan dalam sistem baharu tenaga solar itu mempunyai jangka hayat yang lebih lama.

Selain itu, katanya pembekal bateri untuk sistem tenaga solar yang akan dilaksanakan juga akan ditambah dan diletakkan di beberapa kawasan berbanding hanya satu pembekal yang digunakan sebelum ini.

Sementara itu, mengenai pembangunan koperasi belia, Ahmad Zahid berkata kerajaan menggalakkan golongan muda berkecimpung dalam bidang keusahawanan termasuk melalui koperasi bagi menjana pekerjaan dan pendapatan.

Katanya, pembabitan mereka bukan setakat diperlukan dalam negara, malah boleh dikembangkan hingga ke peringkat serantau dan antarabangsa sejajar perkembangan semasa aktiviti koperasi.

“Kita menggalakkan koperasi belia di Malaysia untuk lebih tersebar dan diperkasa supaya kita dapat melahirkan produk koperasi di peringkat serantau dan ditingkatkan lagi ke peringkat antarabangsa.

“Ini kerana gerakan koperasi walaupun sudah lama di Malaysia tetapi kita mesti berada selangkah ke hadapan berbanding negara lain sejajar hasrat Perdana Menteri menjadikan negara ini sebagai harimau ekonomi di rantau ini,” katanya. – Info X