Search

Terima rasuah RM300,000, empat penguat kuasa ditahan

November 20, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan empat anggota penguat kuasa kerana disyaki menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM300,000 daripada ejen-ejen dan calon-calon yang mengambil lesen memandu.

Semua suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 30 tahun dipercayai ditahan kira-kira jam 4 petang tadi ketika diminta hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Sabah.

Sumber berkata, semua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada tahun 2021 dan 2022 serta disyaki menerima wang rasuah melalui orang tengah sebagai balasan untuk mengeluarkan lesen memandu kepada calon tanpa perlu mengikuti ujian memandu.

“Modus operandi yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa ini adalah dengan meminta dan menerima rasuah daripada ‘orang tengah’ antara RM400 hingga RM1,200 daripada setiap calon bagi mendapatkan lesen memandu pelbagai kelas tanpa menjalani ujian memandu,” katanya.

Sumber itu berkata lagi, kegiatan haram sindiket pengeluaran lesen terbang ini dipercayai menyebabkan kerugian kepada hasil kerajaan sebanyak kira-kira RM1.5 juta.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009,” katanya. Beliau berkata, semua suspek akan dibawa untuk tujuan permohonan reman di  Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, jam 9 pagi esok. – Info X