KOTA KINABALU: Seorang pegawai penguatkuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan daripada sebuah syarikat pengurup wang.
Lelaki berusia 40-an itu ditahan menerima wang rasuah itu sebagai balasan bagi melindungi perniagaan syarikat berkenaan.
Menurut sumber, pegawai penguatkuasa terbabit dipercayai menerima wang rasuah daripada seorang individu.
Katanya, setiap transaksi secara pindahan wang bulanan sebanyak RM500 itu dipercayai dilakukan sekitar tahun 2020 sehingga 2021.
“Suspek ditahan kira-kira jam 9 pagi tadi ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Sabah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy a/l Y Subbiah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Khas Rasuah Kota Kinabalu, esok untuk pertuduhan. – Info X