KOTA KINABALU: Sekumpulan pekerja pembersihan terpaksa menangguhkan tugas selepas terserempak dengan seekor ular sawa batik seberat 50 kilogram di kawasan semak di Jalan Sembulan, berhampiran Futsal UTC, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, sekumpulan pekerja itu dikatakan terkejut dengan kehadiran reptilia sepanjang tujuh meter itu ketika sedang melakukan kerja pembersihan memotong rumput di kawasan berkenaan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.28 petang.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi bagi membantu menangkap haiwan berkenaan.
“Sebaik tiba di lokasi, pengadu memaklumkan ular berkenaan berada di dalam semak samun berdekatan longkang sebelah Jalan BTC.
“Pasukan operasi kemudiannya melakukan pencarian sebelum ditemui berlingkar di dalam semak,” katanya ketika dihubungi.
Aizex berkata, pasukan operasi terpaksa ‘bergelut’ hampir 15 minit sebelum berjaya menangkap ular berkenaan dengan menggunakan alat penjerut.
Katanya, selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 1.49 petang. – Info X