BEAUFORT: “Sebagai ibu, sudah tentu saya sedih semua barangan keperluan Hari Raya Aidilfitri musnah akibat banjir.
“Tetapi saya bersyukur dapat menyelamatkan diri bersama empat orang anak ke pusat pemindahan sementara ini,” kata salah seorang mangsa banjir, Normin Nordin, 31.
Berasal dari Kampung Bakalau, Normin berkata, perasaan sedih pastinya ada kerana baru sahaja menyambut kedatangan Syawal seminggu yang lalu tetapi kini terpaksa berteduh di PPS akibat banjir yang melandaka kampungnya sejak malam tadi.
Menurutnya yang di temui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Selagon, dia hanya sempat menyelamatkan beberapa dokumen peribadi manakala barangan keperluan lainnya banyak ditenggelami banjir.
Sementara itu, Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun berkata , situasi banjir di daerah Beaufort kini terkawal dan satu pusat pemindahan sementara dibuka secara rasmi sejak semalam yang menempatkan seramai 218 mangsa daripada 67 buah keluarga.

“Satu PPS iaitu Dewan Selagon sudah dibuka secara rasmi sejak malam tadi yang kini menempatkan seramai 218 mangsa daripada 67 buah keluarga melibatkan penduduk Kampung Bakalau.
“Setakat ini, perbincangan bersama semua ahli jawatankuasa pengurusan bencana daerah sudah bersiap sedia lebih awal bagi menghadapi bencana banjir.
“Oleh itu, kita dapat memindahkan mangsa banjir di Kampung Bakalau ke PPS dalam keadaan yang teratur,” katanya. – Info X