Search

TERSANGKUT LEBIH 10 JAM DI ATAS POKOK

July 27, 2022

admin

KOTA KINABALU: Lelaki melakukan sukan luncur udara atau paragliding yang tersangkut lebih 10 jam di atas sebatang pokok di Bukit Kokol, Menggatal sejak tengah hari semalam berjaya diselamatkan, malam tadi.

Mangsa berusia 35 tahun yang tersangkut di pokok setinggi 30 meter terbabit berjaya dibawa turun pada jam 10.13 malam oleh pasukan operasi bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa didapati mengalami beberapa kecederaan ringan di badan.

“Pasukan bomba bertugas kemudiannya mengiringi mangsa bergerak ke Pos Kawalan yang terletak sejauh dua kilometer dari lokasi mangsa terjatuh dan tersangkut.

“Mangsa diberi rawatan oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di Pos Kawalan sebelum dihantar ke rumah penginapan mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.15 tengah malam.

Terdahulu, mangsa yang melakukan aktiviti luncur udara dipercayai gagal mengawal payung terjun kendaliannya sebelum tersangkut di atas pokok berkenaan
dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Pasukan bomba yang menerima panggilan kecemasan pada jam 12.12 tengah hari kemudiannya mengerahkan 22 anggota dan pegawai termasuk Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) ke lokasi mangsa tersangkut.

Operasi menurunkan mangsa berjaya dilakukan dengan bantuan peralatan dron daripada kelab Dron D’Bayu yang turut hadir membantu di lokasi untuk menghantar tali dan peralatan diperlukan kepada lelaki terbabit. – Info X