KOTA KINABALU: Pasang pendingin udara pada suhu antara 24 hingga 26 darjah Celsius bagi menjimatkan penggunaan elektrik sekali gus membantu mengurangkan beban tenaga dalam sistem Grid Sabah.
Itu antara langkah yang disarankan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dalam usaha menangani margin simpanan tenaga elektrik yang rendah di Sabah ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata perubahan suhu daripada 20 kepada 24 darjah Celsius mampu memberi penjimatan 33 peratus tenaga elektrik.
Justeru, beliau menggesa pengguna di negeri ini mengamalkan penggunaan cekap tenaga dan penjimatan tenaga yang dapat membantu mengurangkan catuan bekalan, di samping mengurangkan bil elektrik pengguna serta kadar pelepasan karbon.
“Langkah lain yang dapat memberikan kesan ialah dengan mengelakkan penggunaan peralatan elektrik berkuasa tinggi seperti alat pemanas air, ketuhar, seterika dan cerek elektrik pada waktu puncak antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, jam 2 hingga 4 petang dan jam 6 petang hingga 8 malam pada hari bekerja biasa,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Katanya, panduan mengenai penggunaan elektrik secara bijak boleh dirujuk di laman sesawang ECoS iaitu www.ecos.gov.my.Abdul
Nasser berkata, penjimatan elektrik dapat membantu mengelak catuan bekalan jika pengurangan beban dalam sistem Grid Sabah melalui kaedah Demand Side Management (DSM) atau Pengurusan Sisi Permintaan tidak mencukupi.
Katanya, DSM dilaksanakan sejak 1 Mac lalu yang mana pengguna kuasa besar yang mempunyai genset sendiri dan menyertai program itu akan mengaktifkan genset mereka atas arahan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) apabila berlaku kekurangan kapasiti penjanaan grid yang kritikal.
“Pendekatan ini untuk mengurangkan beban Grid Sabah dan mengelakkan catuan bekalan kepada pengguna. Program DSM dilaksanakan sebagai mitigasi segera bermula pada 1 Mac 2024 apabila jidar simpanan menurun sehingga di bawah tahap selamat.
“Keperluan DSM telah diaktifkan beberapa kali pada bulan ini berikutan set janakuasa salah satu loji janakuasa dihenti tugas sementara bagi penyelenggaraan terancang yang tidak dapat ditangguhkan lagi.
“Set janakuasa itu akan terus dihenti tugas sehingga akhir Mac 2024. Kejadian seumpama ini dijangka akan terus berulang sehingga hujung tahun ini disebabkan oleh jidar simpanan (reserve margin) yang rendah akibat kekurangan kapasiti penjanaan dalam Grid Sabah,” katanya.
Setakat ini, katanya sebanyak 19 pengguna kuasa besar menyertai program DSM itu dan berjaya mengurangkan beban Grid Tenaga sehingga 18 Megawatt (Mw) ketika diaktifkan.
“ECoS dan SESB akan meneruskan usaha untuk mengenal pasti pengguna berpotensi menyertai program ini bagi memberikan kelegaan yang berkesan kepada sistem Grid Sabah.
“Pengguna yang menyertai program ini akan diberi pampasan untuk penggunaan bahan bakar diesel sewaktu pengoperasian set janakuasa mereka dalam tempoh DSM,” katanya. – Info X