KOTA KINABALU: Selepas kira-kira 15 tahun menyepi, naib juara Akademi Fantasia (AF) musim ke-4, Lo
tter P Edwin Edin bersama band yang dibarisi adik-beradiknya, The Divine Master’s kini kembali dengan single terbaharu berjudul ‘Kemarin Kecewakan Mu’.
Lagu berkonsep pop rock yang dicipta sendiri oleh Lotter atau lebih dikenali sebagai Dudu itu dilancarkan semalam dengan klip videonya juga sudah boleh ditonton menerusi laman YouTube di saluran atau channel The Divine Master’s.
Lotter berkata, lagu ‘Kemarin Kecewakan Mu’ telah dicipta olehnya 13 tahun lalu iaitu pada 2010 namun ianya tidak dapat ‘diputarkan’ kepada peminat kerana kekangan-kekangan yang tidak dapat dielakkan.
“Selepas kali terakhir The Divine Master’s mengeluarkan album ‘Easy To Understand’ pada 2008, kami masing-masing mempunyai komitmen, sama ada komitmen kerja atau keluarga di mana saya sendiri juga sibuk dengan kerjaya sebagai penyampai radio.
“Kami masih aktif bernyanyi dan membuat persembahan selepas mengeluarkan album pertama, sehinggalah pada penghujung 2009 apabila kami masing-masing mempunyai komitmen dan ketika itu juga saya bersama dengan salah sebuah stesen radio nasional yang berpangkalan di Sabah.
“Pada 2010 saya mencipta lagu ini (Kemarin Kecewakan Mu), tapi tidak berpeluang untuk merakamnya bersama The Divine Master’s kerana terlalu sibuk, selepas Suria FM, saya juga pernah menjadi penyampai di Kupikupi FM dan VOK FM, kesibukan saya sebagai penyampai radio jugalah antara sebab kami tidak berpeluang merakam lagu,” katanya.
Lotter berkata, selepas berhenti daripada ‘dunia’ radio pada 2018, dia sebenarnya telah merancang untuk merakam dan melancarkan single baharu The Divine Master’s pada tahun berikutnya.
Katanya, rancangan itu dibuat pada penghujung 2019 namun ianya tertangguh angkara pandemik Covid-19 yang melanda hampir seluruh dunia ketika itu.
“Begitu banyak cabaran kami hadapi untuk mengeluarkan single terbaharu dan kami sangat bersyukur kerana kami akhirnya berjaya (mengeluarkan single baharu) seterusnya melancarkannya hari ini.
“Saya juga ingin mengambil peluang untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak-pihak yang membantu kami untuk kembali dengan single terbaharu, termasuklah semua penaja kami, keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan semangat dan juga rakan-rakan media yang selalu menyokong perjalanan seni kami,” katanya.
Ketika ditanya mengenai lagu ‘Kemarin Kecewakan Mu’, Lotter berkata lagu itu adalah berkisar mengenai kekecewaan seorang wanita yang ditinggalkan kekasihnya.
“Lagu ‘Kemarin Kecewakan Mu’ ini sebenarnya boleh diadaptasikan dalam pelbagai situasi, tapi cerita sebenar di sebalik lagu ini ialah kekecewaan seorang wanita yang ditinggalkan teman lelakinya dan dia tidak boleh ‘move on’… semua situasi ini anda boleh saksikan dalam klip video lagu ini,” katanya.
Selain Lotter sebagai vokalis utama dan pemain gitar rhythm, The Divine Master’s turut dibarisi Lister Petrus Edwin Edin sebagai pemain gitar utama, Luther Petrus Edwin Edin (drum dan vokal kedua) dan Leill Petrus Edwin Edin (gitar bass).
Album pertama kumpulan ini yang dikeluarkan pada 2008 mengandungi lapan lagu termasuk satu lagu berbahasa Dusun.
Lagu mereka dalam album itu yang berjudul ‘Di Samping Mu’ juga pernah menduduki carta lagu di pelbagai stesen radio, sama ada tempatan atau nasional. – Info X