KOTA KINABALU: Tiada cuti ganti di Sabah pada 17 September ini berikutan sambutan Hari Malaysia dan Maulidur Rasul jatuh pada tarikh sama, 16 September.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkara itu sejajar keputusan yang dibuat oleh Kabinet negeri.
“Kabinet negeri membuat keputusan bahawa pada hari Selasa, 17 September, bukan hari cuti umum sebagai ganti cuti 16 September.
“Cuti Hari Malaysia tahun ini secara kebetulan jatuh pada hari sama sambutan Maulidur Rasul. Bagaimanapun, Kabinet negeri memutuskan tiada cuti ganti pada keesokan harinya bagi sektor awam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Bagaimanapun, katanya bagi sektor swasta, terpulang kepada majikan sama ada memberikan cuti kepada pekerja mereka pada 17 September.
Sementara itu, Hajiji berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg dijadual menghadiri sambutan Hari Malaysia yang dihoskan kerajaan negeri, pada 16 September ini.
Katanya, sambutan itu dianjurkan bersama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri dan Kementerian Komunikasi di Padang Merdeka.
Sambutan dijadual bermula pada jam 7 malam di Padang Merdeka, di sini. – Info X