KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan pihaknya tiada menyimpan dendam terhadap mana-mana politik lain di negeri ini.
Hajiji berkata, kepentingan rakyat serta Sabah adalah menjadi keutamaan semua parti politik di bawah gabungan itu.
“Dalam politik ini janganlah ada dendam. Paling penting kepentingan rakyat dan negeri.
“Tujuan pemimpin-pemimpin ialah supaya fokus kepada penyatuan rakyat perpaduan selain pembangunan negeri supaya aktiviti ekonomi bertambah rancak sekali gus rakyat akan mendapat manfaat,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Seminar Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Hajiji berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau sedia bekerjasama dengan parti lain dalam membangunkan Sabah menerusi Kerajaan Perpaduan Sabah.
Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai kenyataan Barisan Nasional (BN) Pusat yang menyatakan sokongan ke atas beliau selaku Ketua Menteri, Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyambut baik kenyataan itu.
“Baguslah….Ini bermakna bahawa kerajaan negeri akan bertambah kukuh dalam konsep Kerajaan perpaduan yang dipelopori oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Sementara itu, Hajiji turut memaklumkan belum terdapat sebarang rundingan diadakan bersama BN Sabah setakat ini. – Info X