KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan berpandangan rakyat negeri ini tidak akan mendengar sebarang kesimpulan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah daripada kerajaan persekutuan jika kelewatan demi kelewatan terus berlaku.
Bendahari Agung Warisan, Azhar Matussin, berkata perkara itu berdasarkan penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pecahan peruntukan RM16 bilion yang disalurkan kepada Sabah bagi tahun ini pada Himpunan Perdana Rakyat, di sini, Ahad lalu.
Katanya, penjelasan itu menyusul selepas tiga bulan Perdana Menteri mendedahkan mengenai jumlah peruntukan berkenaan yang menimbulkan beberapa maklum balas daripada pelbagai pihak di negeri ini selain turut dibangkitkan Ahli Parlimen dari Sabah pada persidangan Dewan Rakyat.
Beliau turut bertanya sama ada tindakan berdiam diri Perdana Menteri itu ada kaitan dengan hak 40 peratus yang sepatutnya diselesaikan Majlis Tindakan dan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) menjelang 18 Julai lalu.
“Rakyat Sabah kini percaya bahawa tidak akan ada lagi tindakan lanjut oleh MTPMA63 sehingga 31 Ogos atau 16 September. Pendek kata, akan ada satu lagi jurang sekurang-kurangnya sebulan lagi sebelum kita mendengar beliau (Anwar) berkata sesuatu lagi.
“Jika ini berlaku, maka tidak akan ada kesimpulan mengenai kelayakan 40 peratus jika kelewatan demi kelewatan terus menghantui kita,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Sehubungan itu, Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau berkata kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu menimbangkan cadangan Warisan untuk penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Tetap mengenai kelayakan 40 peratus dan perkara MA63 lain.
Jelasnya, ia sebagai tindakan afirmatif dan menggalakkan ketelusan atau menghalang sebarang percubaan untuk menangguhkan pelaksanaan perkara berkenaan.
“Sekiranya GRS bersetuju untuk membentangkan cadangan tersebut untuk dibahas dan diluluskan ADUN pada persidangan DUN akan datang, Warisan tidak menghadapi masalah untuk menyokongnya,” katanya.
Ahad lalu Perdana Menteri menjelaskan mengenai pendedahan yang dibuatnya pada Mei lalu bahawa Sabah menerima RM16 bilion pada 2024 yang sebenarnya meliputi jumlah peruntukan untuk pembiayaan sekolah, gaji guru, keselamatan sempadan, penyelenggaraan jalan raya dan Lebuhraya Pan Borneo.
Mengulas lanjut mengenai penjelasan itu, Azhar berkata ia bukan saja menimbulkan kemarahan dalam kalangan pemimpin politik di negeri ini tetapi juga aktivis MA63 dan rakyat biasa Sabah.
“Sekali lagi, saya mesti menekankan bahawa mesti ada perbezaan yang jelas antara (a) peruntukan pembangunan oleh Persekutuan kepada Negeri dan (b) kelayakan perlembagaan untuk Sabah (kelayakan hasil cukai 2/5 Sabah).
“Perkara pertama yang ingin saya ketengahkan ialah jurang tiga bulan untuk Anwar mengeluarkan penjelasannya. Sebagai seorang Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab untuk memberikan penjelasannya dengan segera apabila pendedahannya menimbulkan kekecewaan bukan saja dalam kalangan rakyat Sabah tetapi juga pemimpin GRS yang lain.
“Kedua, apa yang disebut secara khusus oleh Anwar ialah tanggungjawab Persekutuan yang mesti diberikan kepada Sabah di bawah senarai Persekutuan.
“Jelas sekali jika Perdana Menteri berasa keliru dengan keperluan dan tuntutan pembangunan Sabah, maka biarlah Sabah menguruskan sumber kita sendiri seperti minyak dan gas manakala pada masa yang sama, menguruskan senarai ini,” katanya.
Jelasnya, Perdana Menteri mesti tahu bagaimana untuk melayari sejarah politik Sabah yang rumit dan mempunyai pemahaman mengenai keperluan negeri ini untuk mengekalkan identiti Sabah seperti yang dipersetujui oleh semua ketika pembentukan Persekutuan Malaysia dan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Tidak boleh ada usaha untuk ‘MeMalayakan’ Sabah iaitu menyimpang daripada semangat dan niat asal MA63 atau memperlakukan peruntukan kewangan kepada Sabah dengan cara yang sama seperti negeri lain di Semenanjung.
“Pendek kata, pengetahuan yang mendalam diperlukan dan penghormatan mesti diberikan terhadap tanggungjawab Persekutuan dan Kelayakan Perlembagaan dan adalah tidak wajar bagi mana-mana Perdana Menteri untuk mengadu mengenai perkara ini,” katanya. – Info X