Search

Tiada parti tunggal mampu tubuh kerajaan selepas PRN nanti – PBS

September 23, 2023

Info X Reporters

PENAMPANG: Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, tiada mana-mana parti tunggal dijangka mampu membentuk kerajaan negeri atau mendominasi seluruh Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sehubungan itu, katanya, kepemimpinan tertinggi PBS mengulangi pendirian untuk memberikan sepenuh komitmen kepada kerjasama di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata, PBS akur terhadap keperluan untuk memiliki rakan seperjuangan bagi menerajui kerajaan negeri kerana situasi politik masa kini tidak lagi sama seperti era kerajaan PBS, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) atau Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) dahulu.

“Sekarang kita perlu realistik bahawa kemungkinan besar, tidak ada lagi satu parti yang boleh mendominasikan seluruh negeri seperti pada era USNO, Berjaya dan PBS dahulu. Kita kena akur bahawa kita perlu ada rakan seperjuangan untuk sama-sama menerajui kerajaan pada masa akan datang.

“Kita perlu kuatkan kerjasama kita bersama dengan GRS dan kepemimpinan tertinggi PBS komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan GRS pada pilihan raya akan datang,” katanya pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Wanita PBS Ke-38, di sini, hari ini.

GRS dianggotai tujuh parti tempatan Sabah iaitu PBS, USNO, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

Ketika ini, GRS membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk menerajui kerajaan negeri setelah UMNO Sabah membuat keputusan menarik semula sokongan pada awal tahun ini.

Sementara itu, Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata kepemimpinan parti memberi ruang kepada ahli parti itu, termasuk sayap Pemuda dan Wanita PBS untuk membincangkan cadangan kerjasama dengan STAR.

Katanya, cadangan yang dikemukakan Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan itu boleh dibahas untuk mendapatkan pandangan perwakilan mengenai bentuk dan mekanisme gabungan atau kerjasama yang boleh dilaksanakan.

“Yang amat jelas adalah, kita dalam PBS akan memberi jaminan yang tidak berbelah bahagi mengenai kerjasama bersama GRS yang mana PBS dan STAR adalah komponennya yang penting.

“Saya menyarankan agar kita boleh bekerjasama dengan lebih erat dengan STAR sebab mereka juga sebenarnya bermula daripada PBS dan perjuangan mereka juga tidak jauh daripada perjuangan kita,” katanya.

Jeffrey sebelum ini menyatakan keterbukaan STAR untuk bergabung atau membentuk kerjasama lebih kukuh dengan PBS demi kebaikan kedua-dua parti berasaskan Kadazandusun dan Murut itu terutama bagi menghadapi PRN Sabah akan datang.

Dalam pada itu, Dr Joachim mengakui PBS berdepan persepsi kurang baik berkaitan keahlian dan kepemimpinan parti itu yang dilihat hanya dikuasai pemimpin lama atau mereka yang sudah lama bersama PBS.

“Kita sering dikaitkan dengan parti tertua, cara lama, parti untuk orang-orang tua dan macam-macam lagi. Tanggapan ini merosakkan nama baik parti.

“Betul, kita mempunyai pemuda yang tampan, beliawanis yang cantik dan wanita yang anggun, tapi kita perlukan lebih ramai lagi pemuda dan belia beliawanis berjuang bersama PBS. Kita perlu lebih ramai pemimpin pelapis yang muda, komited dan berintegriti.

“Kita harus kreatif dan aktif membawa ahli baharu khususnya belia, mereka perlu kenal PBS. Kita perlu ada sinonim baharu – PBS adalah parti yang berprinsip dan tegas dengan perjuangan yang sama,” katanya.

Dr Joachim berkata, beliau percaya parti yang sudah menjangkau usia 38 tahun itu masih mempunyai ramai peminat, namun memerlukan pemimpin yang cekal, tabah, kental dan berintegriti untuk memimpin,” katanya. – Info X