Search

Tiada pihak berhak minta tarik balik JPKKP di Sabah – UMNO Sabah

October 11, 2024

Info X Reporters

PUTATAN: UMNO Sabah bertegas tiada pihak yang berhak meminta kerajaan Pusat menarik balik pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Kelamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di negeri ini.

Ketua UMNO Putatan, Jeffery Nor Mohamed, berkata keputusan mewujudkan JPKKP sudah diputuskan kerajaan Pusat untuk mengimbangi dan membantu memperkasa pembangunan kawasan luar bandar di Sabah.

“Keputusan ini juga melihat kepada ketidakadilan kerajaan negeri dalam menyedia dan menyalurkan peruntukan ke kawasan luar bandar di mana kawasan yang diwakili oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dianaktirikan dengan tidak menyediakan peruntukan.

“Kerajaan negeri juga tiada keupayaan dan kesungguhan membangunkan kawasan luar bandar berikutan pelbagai isu terutama berkaitan penyediaan Insfrastruktur asas, jalan raya, bekalan air bersih dan isu kemiskinan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Jeffery berkata penubuhan JPKKP di Sabah lebih banyak memberikan manafaat kepada rakyat negeri ini khususnya di luar bandar kerana kerajaan Pusat turut menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 setahun kepada setiap JPKKP.

Jelasnya peruntukan itu boleh dimanafaatkan untuk pelaksanaan projek kecil kampung selain untuk program kemahiran bagi menjana pendapatan penduduk kampung.

Sehubungan itu, Jeffery berkata, tidak timbul isu penubuhan JPKKP memecahkan perpaduan dan keharmonian rakyat di negeri ini kerana jawatankuasa itu dan JKKK oleh kerajaan negeri mempunyai fungsi yang berbeza.

“Jika ada berpandangan penubuhan JPKKP di negeri ini boleh memecahkan keharmonian dan perpaduan rakyat Sabah, itu hanya pandangan sempit dan persepsi negatif yang lebih kepada kepentingan politik mereka,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah mengulas kenyataan Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar baru-baru ini yang menggesa kerajaan Pusat menarik balik pelantikan JPKKP di negeri ini.

Zulkarnain mendakwa tindakan itu mengganggu suasana harmoni komponen Kerajaan Perpaduan di Sabah dan boleh memecah belah perpaduan rakyat di negeri ini.

Jeffrey bagaimanapun menempelak Zulkarnain yang disifatkan beliau hanya dijadikan jurucakap untuk merosakkan imej UMNO / BN di negeri ini.

“Siapa beliau (Zulkarnain) yang berhak mendesak kerajaan Pusat menarik balik pelantikan JPKKP di negeri ini, selain menjadi ‘tukang jurucakap’ kepada pihak tertentu di negeri ini untuk merosakan imej UMNO/BN di Sabah.

“Desakan itu hanya bermotifkan politik. Pelantikan JPKKP walaupun tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri, tapi ia diiktiraf oleh kerajaan Pusat,” katanya.

Sehubungan itu, Jeffery meminta semua Pengerusi JPKKP di negeri ini yang sudah menerima watikah pelantikan masing-masing supaya meneruskan amanah dan khidmat tanpa menghiraukan kenyataan toksik pemimpin lain yang mencari makan dari pihak tertentu di negeri ini. – Info X