Search

Tiada tangguh, RUU Anti Lompat Parti dibentang esok – Hajiji

May 21, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyangkal dakwaan pembangkang yang kerajaan negeri sengaja untuk menangguhkan pembentangan RUU berkenaan bagi menyekat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat.

Sebaliknya, kata beliau, RUU berkenaan akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula esok.

Katanya, RUU berkenaan melibatkan pindaan dalam perlembagaan negeri dan ia perlu diluluskan oleh Yang Dipertua Negeri dan Yang di-Pertuan Agong sebelum RUU itu boleh dibentangkan dalam sidang DUN.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Mesyuarat ‘Pre-Council’ di sini, hari ini.

“Adalah tidak benar dakwaan pembangkang bahawa kita sengaja melambatkan perkara ini kerana kita perlu mematuhi prosedur sedia ada,” katanya.

Hajiji berkata, RUU pindaan perlembagaan negeri memerlukan majoriti dua per tiga dalam DUN untuk ia diluluskan.

“Saya yakin RUU ini akan mendapat sokongan penuh daripada GRS dan Pakatan Harapan (PH) Sabah.

“Saya juga menyeru ADUN pembangkang untuk menyokong RUU ini memandangkan mereka turut mahu perkara ini diluluskan di Sabah,” katanya.

RUU Pindaan Perlembagaan Negeri adalah antara empat RUU yang akan dibentangkan pada mesyuarat pertama penggal keempat sidang DUN Sabah bermula 22 Mei sehingga 25 Mei 2023. – Info X