Search

Tiada titik panas di Sabah, jerebu dibawa angin dari Kalimantan

September 1, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tiada titik panas dikesan di Sabah berdasarkan penelitian agensi pakar cuaca terhadap imej satelit di sekitar ASEAN setakat 31 Ogos.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Nor Rashidah Mohd Ghazali, berkata perkara itu dilaporkan Pusat Kepakaran Cuaca ASEAN (ASMC) yang berpusat di
Singapura.

Katanya penelitian melalui imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 itu mendapati tiada sebarang titik panas dikesan di Sabah.

“Laporan yang sama menunjukkan sebanyak 253 titik panas dikesan di Kalimantan dan 63 di Sumatera bagi cerapan 31 Ogos 2026,” katanya menerusi kenyataan media pada Selasa.

Katanya, berdasarkan laporan JBPM Sabah dan hasil rondaan pencegahan pembakaran terbuka yang dilaksanakan pegawai JAS pada 1 September 2026 juga mendapati tiada kejadian kebakaran besar lain dikesan atau dilaporkan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan dan Tawau.

Bagaimanapun, katanya di sebalik dapatan itu, Sabah tetap berdepan masalah jerebu yang menyebabkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat dan mencatat bacaan tidak sihat di lima lokasi.

Beliau berkata, berdasarkan bacaan
yang direkodkan di laman sesawang JAS Sabah setakat jam 5 petang Selasa, menunjukkan lima stesen mencatat bacaan tidak sihat iaitu 177 di Stesen Kota Kinabalu, 159 di Stesen Politeknik, 166 di Stesen Kimanis, 165 di Stesen Keningau dan 153 di Stesen Tawau, manakala satu kawasan lain
masih mencatat status kualiti udara pada tahap sederhana iaitu Sandakan.

“Kualiti udara di negeri Sabah telah terjejas akibat jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan.

“Asap tebal daripada kebakaran tersebut dipercayai dibawa oleh tiupan angin merentasi wilayah Borneo, termasuk ke Sabah,” katanya. – Info X