Search

Tidak hadir peperiksaan SPM kerana sudah kahwin

May 27, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketidakhadiran ramai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sabah pada tahun lalu antara lain dikenal pasti berpunca daripada perkahwinan pelajar terbabit.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Nurani Fauziah Derin, mendedahkan seramai 984 calon SPM dari negeri ini pada tahun lalu tidak hadir mendudukinya.

Katanya, selain sudah berkahwin, ada juga calon yang sudah bekerja dan meninggal dunia.

Beliau berkata, perkara itu disedari sejak hari pertama SPM 2023 apabila ramai calon didapati tidak hadir menduduki kertas peperiksaan.

“Pelbagai faktor calon tidak hadir, ada yang sudah bekerja, berkahwin dan ada juga yang sudah kembali kepadaNya (meninggal dunia).

“Itu antara faktor yang kita lihat tapi ada juga yang memang mungkin kurang berminat (menduduki SPM),” katanya pada sidang media keputusan SPM 2023 bagi negeri Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas punca 984 calon SPM 2023 di Sabah tidak menghadiri peperiksaan itu.

Bagaimanapun, katanya jumlah itu menurun berbanding seramai 1,564 calon SPM 2022 dari Sabah yang didapati tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

“InsyaAllah, kita akan lihat bagaimana kita boleh membantu anak-anak kita ini. Ada yang memang mungkin kurang minat ke sekolah, tapi insyaAllah kita akan lihat apa yang boleh dibantu,” katanya.

Nurani mengakui jumlah keciciran menduduki SPM yang besar itu agak membimbangkan kerana kesannya bakal dihadapi pelajar terbabit pada kemudian hari.

“Jumlah itu agak membimbangkan kerana impak mereka ini akan kita lihat kemudian di luar sana nanti di bidang pekerjaan dan juga dalam kehidupan secara menyeluruh.

“Ini kerana SPM ini membuka ruang kepada banyak peluang di luar sana, dengan ada SPM mereka boleh melakukan pelbagai benda untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Jadi, sekiranya anak-anak kita ini tiada SPM, ia akan menjejaskan sedikit kelangsungan hidup mereka kemudian nanti,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata seramai 484 calon atau 1.38 peratus daripada 35,126 calon SPM dari Sabah pada tahun lalu memperoleh keputusan cemerlang semua A (gred A+, A dan A-) berbanding 344 calon (0.95 peratus) pada SPM 2022. – Info X