Search

Tidak masuk akal sekat kemasukan Dr Akmal – Pemuda UMNO Kinabatangan

April 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin UMNO Sabah membidas cadangan beberapa pemimpin politik di Sabah yang meminta kerajaan negeri mengeluarkan perintah sekatan memasuki Sabah terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar, menyifatkan cadangan itu sebagai tidak masuk akal dan keterlaluan tanpa menyelidik terlebih dahulu isu yang dikaitkan dengan Dr Akmal.

Katanya, kehadiran Dr Akmal ke Sabah baru-baru adalah atas jemputan pihak tertentu tanpa ada agenda yang berkaitan dengan pendiriannya dalam isu KK Mart.

“Rakyat Sabah sangat matang dalam mencerna isu berkaitan yang diperjuangkan oleh Dr Akmal khususnya bagi mempertahankan kalimah Allah daripada direndahkan darjatnya oleh pihak tertentu.

“Sekiranya mahu melarang Dr Akmal daripada memasuki Sabah, adalah lebih baik mengeluarkan larangan terlebih dahulu kepada mereka yang sengaja mencetuskan isu ini daripada memasuki Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christopher Mandut, semalam yang mendakwa Sabah tidak mengalu-alukan sebarang cubaan untuk memecahbelahkan rakyat di negeri ini dan meminta agar Dr Akmal disekat daripada memasuki Sabah.

Mengulas lanjut, Mohd Naim yang juga Bendahari Pemuda UMNO berkata, pemimpin seperti Christopher perlu keluar dan bergaul dengan pemimpin dari latar belakang yang berbeza agar pandangannya lebih meluas dan tidak mudah terpengaruh.

“Saya mengingatkan kepada Christopher jangan terlalu mudah untuk mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk akal termasuk menyekat hak Dr Akmal daripada memasuki Sabah.

“Masyarakat di Sabah sangat matang dan tidak akan terikut-ikut dengan budaya politik di Semenanjung, lebih-lebih lagi yang boleh memecahbelahkan rakyat di negeri ini,” katanya.

Jumaat lalu, Dr Akmal ditahan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk diambil keterangan berhubung kes stoking tertera kalimah Allah yang dijual di Pasaraya Mini KK Mart.

Kedatangan Dr Akmal ke Sabah ketika itu adalah untuk menghadiri program Pemuda UMNO di Beaufort, sebelum kembali ke ibu negara, semalam. – Info X