KOTA KINABALU: Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan pelekat lesen kenderaan bermotor atau lebih dikenali sebagai ‘roadtax’ tidak perlu dipamerkan pada kenderaan milik persendirian milik rakyat Malaysia bermula hari ini.
Loke berkata, tiada lagi penguatkuasaan mewajibkan lesen kenderaan bermotor dipamerkan pada kenderaan seperti yang peruntukan di bawah Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan.
“Perubahan itu akan dilaksanakan secara berperingkat.
“Fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu termasuk motosikal,” katanya dalam kenyataan media di ibu negara, hari ini.
Pengumuman itu adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pengangkutan untuk melaksanakan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), khususnya membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian.
Sementara itu, Loke turut menggalakan semua pemandu atau pemilik kenderaan untuk beralih ke platform digital.
Menurutnya, pendigitalan dapat mengurangkan keadaan sesak dan beratur panjang di kaunter JPJ selain akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan keselesaan rakyat. – Info X