Search

TIDAK SEMESTINYA PERLU GABUNGAN UNTUK MENANG PILIHAN RAYA

May 12, 2022

admin

KOTA KINABALU: Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal berkata, sesebuah parti tidak semestinya perlukan gabungan untuk memenangi pilihan raya.

Katanya, sejarah politik di Sabah sebelum ini pernah membuktikan yang sebuah parti berbilang mampu memenangi pilihan raya seterusnya membentuk kerajaan negeri.

“Tidak semestinya dengan gabungan politik boleh menang (pilihan raya), di Sabah dulu pernah berlaku sebuah parti berbilang kaum menjadi kerajaan iaitu masa (parti) Berjaya dan seterusnya ketika PBS (Parti Bersatu Sabah) memerintah.

“Kita belum putuskan (sama ada Warisan akan bergerak sendiri) tapi gabungan atau kerjasama politik itu juga penting, kita akan lihat nanti,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran #WarisanCares Tawaran Permohan Kerja Sambil Belajar, di ibu pejabat parti itu, di sini, hari ini.

Sementara itu, Shafie berkata, parti itu setakat ini belum mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti atau gabungan bagi mewujudkan kerjasama politik.

Beliau turut mengulangi kenyataannya sebelum ini iaitu Warisan perlu ‘membina rumah’ mereka sendiri dulu sebelum memutuskan sebarang kerjasama politik.

“Kita bina rumah kita dulu, tiada gunanya menjalinkan kerjasama kalau rumah kita sendiri tidak kukuh, dindingnya, atapnya, tiangnya, kadang-kadang tiangnya pun kena curi.

“Sebelum ini kita pernah berbincang dengan Muda tapi kerjasama itu tidak kelihatan pada PRN Johor, bagaimanapun, kita bersedia untuk bekersama semula, cuma buat masa ini saya bagitahu Syed Sadiq biar kami jaga rumah kami dulu dan kamu jaga rumah kamu,” katanya. – Info X