TONGOD: Pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka cedera ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran di Kampung Entilibon, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Hujan Simbul, 53, dan isterinya, Julia Ahmad, 53, masing-masing cedera di bahagian tengkuk dan pinggang akibat melompat, manakala anak mereka, Syahnizan, 20, melecur di tapak kaki dan muka.
Turut terbakar dalam kejadian itu adalah lima kenderaan dan tiga motosikal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Utoh, berkata bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 2.09 pagi dan hanya tiba di lokasi pada jam 4.19 pagi susulan kedudukan balai yang jauh iaitu 121 kilometer (km).
Katanya, sebuah masjid yang terletak berhampiran turut terkena bahang api.
“Kita menggunakan sumber air terbuka dan air graviti untuk memadam kebakaran.

“Ketiga-tiga mangsa yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan Entilibon oleh orang awam bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Hairi berkata, operasi itu membabitkan enam anggota bomba selain turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, api hanya dapat dikawal daripada merebak pada jam 6.34 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 7 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi. – Info X