LAHAD DATU: Tiga ekor buaya jantan berjaya ditembak mati dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar di daerah ini, kelmarin.
Operasi yang dijalankan bermula jam 8 pagi sehingga 4 petang itu juga berjaya menembak mati salah seekor buaya bersaiz besar berukuran kira-kira 3.4 meter panjang.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, operasi dijalankan di beberapa kawasan bagi memastikan keselamatan penduduk di sekitar lokasi operasi bebas dari ancaman reptilia berkenaan.
“Kita menjalankan operasi di sekitar Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu, kawasan laut Kluster Industri Minyak Sawit (POIC), Sungai Sabah Baru, Kampung Puyut, Sungai Sapagaya dan Tabanak.
“Hasil operasi berjaya menembak mati tiga buaya dengan salah satunya adalah buaya bersaiz besar sepanjang 3.4 meter.
“Semua buaya yang dinaikkan ke darat diserahkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, operasi dijalankan bagi mengawal populasi buaya dan mengurangkan serangan terhadap manusia serta kes-kes dibaham buaya di sekitar perairan Lahad Datu.
Menurutnya, operasi disertai pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, PPM, Angkatan Pertahanan Awam (APM), JHL, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) serta Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD).
Katanya, sepanjang operasi dijalankan, pasukan petugas sentiasa menitikberatkan soal keselamatan diri, orang awam, harta benda dan penggunaan senjata api serta amunisi.
“Operasi berjalan lancar dan tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya sambil menambah operasi keseluruhan ditamatkan jam 4 petang. – Info X