SANDAKAN: Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan dalam Ops Tapis Narkotik yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan (IPD) Sandakan di sekitar Kampung Sundang Laut, Jalan Batu Sapi dan Kampung Kagayan, Batu 8, di sini, Isnin lalu.
Operasi bermula kira-kira jam 7 malam itu dijalankan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di daerah berkenaan.

Dalam serbuan berasingan, dua lelaki ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine dan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Seorang wanita pula ditahan kerana disyaki memasukkan dadah berbahaya ke dalam tubuh badan sendiri dan turut disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.

Semua suspek kemudian dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk ujian saringan awal air kencing sebelum didapati positif methamphetamine (syabu) dan amphetamine.
Berikutan itu, ketiga-tiga mereka ditahan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kini ditempatkan di lokap IPD Sandakan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, George Abd Rakman berkata operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pihak polis dalam memerangi jenayah dadah di daerah ini.
Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah serta akan terus mempergiat operasi dari semasa ke semasa. – Info X