Search

Tiga ditahan ketika sedang jual beli dadah

May 24, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita dan merampas dadah syabu bernilai RM57,000, di tepi jalan kawasan perniagaan Batu 3, Jalan Apas, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, semua suspek berusia 30 hingga 36 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dipercayai ketika sedang menjalankan urus niaga menjual dadah.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil daripada pemerhatian polis, terlihat seorang suspek menerima sebuah bungkusan plastik daripada penumpang di dalam bas berhenti-henti yang parkir di tepi jalan.

“Sebaik suspek beredar daripada bas itu, pasukan polis mendekati suspek lelaki warga asing dan menemui satu bungkusan plastik warna oren di tangannya.

“Pemeriksaan di dalam plastik itu menemui satu bungkusan plastik warna hitam di dalamnya terdapat 15 bungkusan plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, berat anggaran dadah syabu 753.73 gram dengan nilai RM57,000.

“Pada masa sama, bas berhenti-henti itu memecut namun berjaya ditahan oleh pasukan serbuan di tepi jalan kawasan Batu 5, Jalan Apas.

“Polis juga turut menahan seorang lelaki warga tempatan dan wanita warga asing di dalam kenderaan berkenaan,” katanya.

Katanya lagi, semua suspek ditahan dan dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan polis merampas bas berhenti-henti yang digunakan dalam kegiatan berkenaan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Sementara itu, Jasmin berkata, kejayaan ini adalah salah satu usaha IPD Tawau dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah di daerah ini.

“Polis ingin menegaskan bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah adalah satu kesalahan disisi undang-undang.

“Oleh itu, polis mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam untuk bersama-sama membanteras kegiatan ini,” tegasnya. – Info X