Search

Tiga jenazah anggota polis tiba di HQE untuk bedah siasat

August 7, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tiga kenderaan van membawa jenazah anggota polis yang maut akibat renjatan elektrik di Weston, Beaufort, tiba di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), di sini, kira-kira jam 1.10 pagi tadi.

Ketibaan ketiga-tiga van jenazah itu diiringi beberapa kenderaan peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, Papar, Penampang dan Kota Kinabalu.

Jenazah dibawa dari Hospital Beaufort ke HQE I bagi menjalani proses bedah siasat serta urusan dokumentasi sebelum diserahkan kepada waris.

Selepas selesai semua urusan berkenaan, jenazah akan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing dengan diiringi pegawai polis dari IPD Beaufort.

Ketiga-tiga mangsa yang bertugas di Balai Polis Weston dikenal pasti sebagai Koperal Chiu Teck Siong, 40, berasal dari Sarawak; Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, berasal dari Kelantan; dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26, berasal dari Terengganu.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang tadi, ketiga-tiga anggota itu disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengalihkan galah besi sepanjang 29 kaki yang digunakan untuk mengait buah kelapa di luar Balai Polis Weston berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Weston.

Siasatan awal mendapati galah berkenaan terkena kabel elektrik utama sebelum arus mengalir ke galah dan merenjat ketiga-tiga mangsa. – Info X