PAPAR: Tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah dua tingkat yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kogopon, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, rumah jenis separuh kekal berkeluasan kira-kira 167 meter persegi musnah sepenuhnya, selain lima kereta dan tiga motosikal turut terbabit dalam kebakaran berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Penolong Penguasa Bomba Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.31 pagi sebelum sembilan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi sejauh 20 kilometer.
Katanya, sebaik tiba pada jam 2.52 pagi, pasukan bomba mendapati rumah berkenaan terbakar dan api turut merebak ke beberapa kenderaan berhampiran.
“Rumah yang dihuni tiga keluarga itu musnah 100 peratus, manakala tiga kereta turut musnah sepenuhnya.
“Dua lagi kereta masing-masing mengalami kerosakan akibat kebakaran sebanyak 20 dan 30 peratus, manakala tiga motosikal turut musnah 100 peratus,” katanya dalam kenyataan, pagi ini.

Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 60 meter dengan dua pancutan air daripada tangki jentera bomba.
“Api berjaya dikawal pada jam 3.05 pagi sebelum pasukan bomba meneruskan kerja pemadaman bara api bagi memastikan kebakaran dipadam sepenuhnya.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.15 pagi,” katanya. – Info X