SANDAKAN: Tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 14 tahun ditahan susulan insiden anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang dipukul beramai-ramai ketika menjalankan rondaan di pasar Batu 8, di sini, Jumaat lalu.
Ketiga-tiga suspek kesemuanya warga Filipina itu ditangkap pada Sabtu lalu di lokasi berasingan iaitu di Batu 8, Kampung Bariawa dan kawasan setinggan Kampung Melayu.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata tangkapan dibuat susulan laporan yang dibuat anggota penguatkuasa MPS itu pada Jumaat lalu.
“Pemeriksaan air kencing mendapati semua suspek negatif dadah, namun ketiga-tiga mereka mengaku terbabit dalam kejadian itu.
“Siasatan masih lagi diteruskan dan ketiga-tiga suspek ditahan reman,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.
George berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 186, Seksyen 332 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, menyebabkan kecederaan terhadap penjawat awam serta merusuh.
Jumaat lalu, anggota penguatkuasa yang berusia 50 tahun cedera selepas dipercayai dipukul sekumpulan lelaki ketika membuat rondaan di pasar berkenaan.
Mangsa mendakwa menegur seorang lelaki yang dipercayai menjual rokok tanpa cukai secara terbuka di kawasan pasar sebelum tercetus perselisihan faham dan mangsa diserang beberapa lelaki tidak dikenali.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam di beberapa bahagian badan dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent bagi mendapatkan rawatan. – Info X