Search

Tiga maut, tiga cedera kereta terbabas dan terbalik

October 9, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Tiga maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Batu 18, Jalan Sandau Lahad Datu – Sandakan, di sini, petang tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Erna Jamalddin, 36; Harlina, 38; dan Rajuddin, 41, semuanya warga Indonesia.

Tiga lagi mangsa yang parah ialah Sudirman, 43; Marani Halaking, 46; dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang masih belum dikenal pasti identitinya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.05 petang.

Katanya, sepasukan lapan anggota bersama dua jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pasukan mendapati sebuah kereta jenis Proton Saga BLM terbabas sendiri dan terbalik dengan semua mangsa tersepit di dalam kenderaan.

“Pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan khas rescue tools RTA untuk mengeluarkan semua mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Manakala tiga lagi mangsa parah dan dihantar ke Hospital Lahad Datu oleh ambulans KKM untuk rawatan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.27 petang selepas memastikan kawasan kejadian selamat,” katanya. – Info X